web space | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pesta Buku Kuala Lumpur dikuasai samseng Umno?

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengecam keras tindakan sekumpulan Pemuda Umno yang menganggu, mengugut serta bertindak memukul seorang petugas gerai buku yang menjual kaset-kaset agama, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2001, di PWTC, pada petang Jumaat lalu, 25 Mei.

Difahamkan, kejadian bermula apabila empat orang pemuda, dalam lingkungan 20-30 tahun, bertindak kasar, mendesak seorang penjual buku dan kaset-kaset agama, pemilik Sarjana Media, gerai bernombor 3046-3048, agar tidak mempamerkan kaset dan CD ceramah agama oleh dua orang tokoh ulamak tanahair, Dato’ Dr Haron Din dan Dato’ Ismail Kamus.

Ketika ditanya apa kuasa mereka untuk membuat arahan itu, seorang darinya mendakwa mereka dari Kementerian Dalam Negeri. Tetapi selepas diminta kad pengenalan diri, mereka mengatakan mereka adalah ahli Umno dan berhak ke atas bangunan di mana pesta buku diadakan.

Apabila pemilik gerai mengatakan apa yang dijual di situ tidak bercanggah dengan undang-undang, dan beliau membayar sewa sebanyak RM10,000 kepada penganjur, “pemuda-pemuda Umno” itu mula bertindak liar. Di samping mengeluarkan kata-kata kesat, beberapa keping kaset dan VCD ceramah agama dipecahkan. Mereka mengatakan, kaset-kaset itu hanya sesuai dijual di Markas Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, Gombak, bukannya di bangunan Umno.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan berkenaan meronda dari satu gerai ke gerai yang lain. Kekecohan berlaku sekali lagi di gerai Pustaka Alhas, yang turut, antara lain menjual kaset dan VCD ceramah agama dua tokoh yang sama, Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus. Sebahagian kaset dan VCD berkenaan ditolak jatuh.

Apabila salah seorang pembantu jualan gerai tersebut menegur tindakan tidak beradab ‘pemuda-pemuda Umno’ itu, mereka bertindak ganas, dengan mengheret pembantu jualan itu ke tempat yang agak tersorok, dan memukulnya. Beliau kemudiannya membuat aduan di Balai Polis Dang Wangi.

KAMI telah membuat tinjauan ke Pesta Buku itu, di Dewan Tun Razak 3 dan 4, PWTC, pagi Selasa (29 Mei) dan berkunjung ke gerai Sarjana Media dan Pustaka Alhas. Didapati tiada sebarang kaset, VCD ataupun bahan-bahan bercetak yang menentang parti pemerintah ataupun secara jelas menyokong parti pembangkang. Yang memenuhi ruang pameran gerai-gerai itu adalah buku, kitab, poster, kaset dan VCD agama.

Kami dimaklumkan oleh penjual, itulah juga yang mereka jual sejak pesta buku itu dirasmikan Jumaat lalu, 22 Mei. Sememangnya kami dapati kaset dan VCD agama ini mendapat sambutan hangat dari pembeli, khususnya yang membabitkan dua tokoh tadi, Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus. “Pemuda-pemuda Umno itu fobia dengan gambar ulamak-ulamak yang tidak lagi menyokong Umno. Itu saja,” kata seorang penjual.

Beliau menunjukkan kepada kami contoh VCD yang dirosakkan. Mahu tahu apa tajuknya? “Kesempurnaan Sembahyang, Siri Dua”, oleh Dr Haron Din!

KAMI sedang mengumpul maklumat kejadian itu secara lebih terperinci. Percubaan untuk mendapatkan butiran lanjut dengan penganjur pesta, petang Selasa gagal. Pembantu jualan yang dipukul itu sedang dikesan. Beliau tidak lagi muncul di PWTC selepas insiden buruk buruk. Oleh kerana Presiden Umno mengadakan pertemuan khas dengan pemuda-pemuda Umno, 29 Mei, didapati agak ramai yang berpakaian rasmi Pemuda Umno kelihatan di pesta buku itu.

KAMI menggesa agar pihak polis menjalankan siasatan segera dan bertindak pantas menanganinya walaupun ia mungkin menyentuh parti pemerintah sendiri. KAMI amat kesal dengan sebarang usaha mengugut, menakut-nakutkan, apatah lagi bertindak ganas menghalang penyebaran maklumat dan kegiatan ilmu di negara ini. Sungguh memalukan, apabila majlis pesta buku yang sepatutnya dijalankan secara beradab dan harmonis, dalam suasana yang merancang tradisi keilmuan, tercemar dengan amalan budaya samseng. Lebih mengaibkan, apabila ia dicetuskan oleh mereka yang mendakwa pemuda Umno, sayap kanan parti pemerintah.

KAMI juga menggesa pihak penganjur, Majlis Buku Kebangsaan supaya mengkaji semula lokasi pesta di masa-masa akan datang. Jika pimpinan Umno gagal untuk mengawal emosi ahli-ahlinya -- yang langsung tidak dapat menghayati erti demokrasi -- MBK mesti mencari lokasi baru yang lebih bebas dan kondusif kepada aktiviti-aktiviti keilmuan.

Namun, mungkin pemuda-pemuda Umno berkenaan terdorong melakukan tindakan ganas itu berdasarkan sikap pemimpin-pemimpin mereka sendiri? Apa tidaknya, lihat saja tindakan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo yang mengeluarkan arahan agar semua premis perniagaan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dibersihkan datri sebarang makalah penerbitan yang ‘menentang kerajaan’. Apa maksud ‘menentang kerajaan’ tidak pula dijelaskan.

Mungkin juga mereka terdorong dengan sikap Kementerian Dalam Negeri (KDN), di bawah Timbalan Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi, yang kian gemar menggantung dan mengharamkan penerbitan yang tidak selari dengan Umno, manakala banyak lagi pula yang dirampas.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
29 Mei 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com