Oleh Mat Zahari Ali
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Ketika tindakan MCA
mengambil alih Nanyang Siang Pau dan China Press terus
mengundang protes demi protes kebimbangan baru timbul
khususnya dikalangan masyarakat Cina.
Kebimbangan terbaru ini membabitkan sebuah lagi akhbar
berbahasa Cina yang berpengaruh - Sin Chew Jit Poh,
Komuniti Cina Malaysia kini ingin tahu peranan akhbar
itu dalam pengambilalihan Nanyang dan China Press
berdasarkan pegawai tertingginya kini memangan jawatan
tinggi di Nanyang.
Sehingga kini peranan Sin Chew berhubung PERKARA INI
TIDAK DIJELASKAN.
Sehubungan itu Jawatankuasa membantah Pengambilalihan
Nanyang Press oleh MCA (CAT) mengadakan perbincangan
dengan pengurusan Sin Chew Jit Poh.
Menurut Setiausaha CAT, Wong Chin Huat pihak Sin Chew
gagal menjawab tiga daripada empat soalan yang
dikemukakan.
Kata Wong, pengurusan Sin Chew enggan memberi
penjelasan berhubung pengambilalihan Nanyang Siang Pau
dan China Press oleh MCA.
Selain itu kata Wong pihak Sin Chew juga enggan
memberi penjelasan mengenai laporan akhbar itu tiga
minggu lalu yang membuat liputan yang tidak menyeluruh
berhubung pengambilalihan Nanyang Publications melalui
Huaren Holding Bhd iaitu syarikat milik MCA.
Dalam pertemuan hampir hampir sejam itu menurut Wong
pengurusan Sin Chew juga tidak dapat memberi
penjelasan berhubung pemindahan dua ketua pegawai
eksekutif Sin Chew ke Nanyang Publication dalam masa
dua puluh empat jam lalu.
Menurut Wong lagi tindakan pengambilan alih Nanyang
Publication oleh MCA akan memberi dua kesan negetif
terhadap hak kebebasan rakyat untuk bersuara dan
menentukan hak mereka.
"Pertamanya kita akan lihat kawalan oleh parti politik
ke atas media akan menjadikan akhbar tersebut sebagai
lidah politik dan bukannya suara rakyat."
"Keduanya kesan dari pemusatan kawalan pemilikan media
itu akan menyebabkan ia akan digunakan untuk
kepentingan pemimpin tertentu. Ini akan menyebabkan
monopoli tanpa saingan dan tak mungkin ada lagi
kebebasan media sebagaimana dikehendaki rakyat," kata
Wong.
Sementara itu menurut Pengerusi CAT, Tan Ah Chai,
jawatankuasanya menentang habis-habisan pengambilan
Nanyang press oleh MCA.
Menurut beliau tindakan MCA ini akan menyempitkan lagi
ruang kebebasan media di negara ini.
"Ini satu pencabulan hak bersuara rakyat dan gejala
yang kurang sihat. Kami bimbang jika Sin Chew juga
akan mengambil jalan yang serupa dengan Nanyang," kata
Tan.
Menurut Tan selama ini masyarakat Cina di negara ini
telah menerima hakikat bahawa kebanyakan akhbar
berbahasa Cina lebih liberal dalam melaporkan berita
berbanding khbar berbahasa Melayu dan Inggeris.
Dalam pertemuan yang bermula jam 12.30 tengahhari
tadi, CAT diwakili oleh lapan anggotanya dan
pengurusan Sin Chew diwakili Pegawai Perhubungan
Awamnya Lai Sin Siang.
Ketika pertemuan diadakan, satu demonstrasi diadakan
diluar oleh rakyat yang prihatin mengenai kebebasan
akhbar di Malaysia.
Perhimpunan aman itu menyaksikan pelbagai sepanduk dan
poster dibawa untuk menyampaikan mesej mereka.
Semalam proses pengambilalihan Nanyang Publications
oleh syarikat pelaburan MCA Huaren Holding Bhd selesai
membabitkan RM240 juta.
Nanyang Publications menerbitkan dua ahkbar berbahasa
Cina, Nanyang Siang Pau dan China Press selain 14
penerbitan lain.
Dalam pada itu beberapa editor Nanyang Publications
dibawah pengurusan lama sudahpun ditamatkan
perkhidmatan mereka untuk diganti tenaga pilihan
pengurusan baru editor.
Semalam Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah
Ismail memberitahu ada maklumat yang diperolehi bahawa
senarai nama editor dan wartawan yang akan
disingkirkan telah disediakan.
Jelas kebimbangan itu menjadi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu PAS mengeluarkan kenyataan yang
menentang usaha MCA meletakkan Nanyang Publications
dibawah penguasaan parti politik itu.
Setiausaha Agung PAS Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata
tindakan MCA itu dilihat sebagai satu lagi usaha
mengekang kebebasan akhbar "seterusnya meletakkan
taraf akhbar hanya sebagai alat propaganda MCA dan
kerajaan BN sahaja".
"Kebebasan akhbar amat perlu untuk membina masyarakat
yang berfikir dan kritikal. Tindakan MCA satu tindakan
yang menghina taraf berfikir dan keintellektualan
masyarakat Cina," kata Nasaruddin.
PAS kata beliau tidak dapat menerima "jaminan" MCA
kononnya parti itu tidak akan mencampuri sidang
editorial kedua-dua akhbar itu.
"Sekurang-kurang dua insiden lalu menyebabkan PAS
menolak jaminan MCA itu," kata beliau.
Satu membabitkan akhibar harian Tong Pao. : Tong Pao
telah diletakkan dibawah penguasaan MCA dan bertukar
menjadi organ parti MCA dan telah membawa matinya
akhbar itu. Ia menunjukkan berlakunya bercampur tangan
politik," kata beliau.
Nasaruddin berkata PAS juga sebelum ini mendapat
"banyak aduan mengenai campurtangan Timbalan Menteri
Dalam Negeri Ong Ka Ting (ketika beliau memegang
jawatan itu dulu) dalam operasi harian akhbar Cina".
Ini kata beliau membuktikan sikap tidak terbuka MCA
sebelum ini yang "menjadikan amat mustahil MCA boleh
menjamin kebebasan media kali ini".
Nasaruddin juga menyifatkan kenyataan Presiden MCA
Dato Seri Ling Liong Sik tempoh hari mengenai isu ini
amat lucu.
"Alasan Dr Ling didalam akhbar The Star (28 Mei 2001)
dimana beliau cuba menyamakan pengambilan Nanyang
Siang Pau dan China Press dengan akhbar The Rocket
milik DAP dan Harakah kepunyaan PAS ada sesuatu yang
lucu".
"Dr Ling perlu sedar kedua-dua akhbar itu adalah organ
parti dan berlainan dengan status akhbar Nanyang dan
China Press.
Sementara itu bantahan terhadap MCA bedrhubung isu
pengambilalihan dua akhbar itu terus memuncak.
Hampir setiap hari protes diadakan dibeberapa tempat.
Esok satu perhimpunan dijadual diadakan di Wisma MCA
pukul 12.30 tengah hari.