PENGKALAN CHEPA, 29 Mei (Hrkh) - Badan Perhubungan Umno Kelantan disifatkan tertipu, apabila kononnya seramai 40 bekas anggota PAS dari Cawangan Taman Kemumin Fasa 1, menyertai Umno, baru-baru ini.
Menurut Naib Ketua PAS cawangan berkenaan, Hashim Ali, 47 berdasarkan rekod hanya seorang sahaja yang berdaftar sebagai ahli PAS di cawangan berkenaan menyertai Umno. Katanya, Umno tidak boleh menipu orang ramai kononnya ramai penyokong PAS menyertai parti tersebut.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan kononnya 40 ahli PAS yang diketuai Shamsuddin Derauf menyertai Umno dan menyerah borang kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapha Mohamed.
Hashim berkata, 38 orang lagi yang dikatakan menyertai Umno kini masih kekal dalam PAS dan tidak pernah menyertai Umno sebagaimana didakwa akhbar.
"Apabila Shamsuddin mendakwa 40 ahli PAS cawangan berkenaan menyertai Umno, ini bererti saya juga turut menyertai parti itu.
"Saya ingin mendedahkan kenyataan akhbar harian baru-baru ini adalah tidak benar serta fitnah semata-mata, kerana Shamsuddin dan isterinya sahaja yang menyertai parti itu," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penyertaan Shamsuddin ke dalam Umno sebagai dialu-alukan kerana bekas Ketua Cawangan Taman Desa Kemumin Fasa 1, berkenaan adalah orang yang bermasalah.
Tegasnya, amat wajar sekali sekiranya Umno mengambil ahli seperti itu masuk bersama mereka.
Beliau juga berkata, laporan akhbar berkenaan tidak tepat apabila menyebut bekas Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa sebagai Khairul Azhar, 27.
Menurutnya, nama ini tidak pernah wujud sebagai senarai Dewan Pemuda PAS di kawasan tersebut, sama ada yang terdahulu atau sekarang.
Sekarang Dewan Pemuda PAS diketuai Nik Abduh Nik Abdul Aziz, manakala sebelumnya adalah Dr Izanee Hussin.
Sehubungan itu, beliau turut berpendapat isu penyertaan beramai-ramai anggota PAS ke dalam Umno, sebenarnya adalah perancangan pihak tertentu terutama di bawah kepemimpinan baru sekarang.
"Jadi nak tunjuk hebatnya kepemimpinan baru Umno sekarang, di samping nak tonjol pada pucuk pimpinan parti, tipu muslihat sedemikian dibuat walaupun akhirnya menikam diri sendiri," ujarnya.
Umno Bahagian Pengkalan Chepa sekarang diketuai, Dr Nik Mohd Zain Omar menggantikan Dato' Ariffin Hamid.