web space | free hosting | Web Hosting | Free Website Submission | shopping cart | php hosting
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tegakkan Sistem Kemasukan Universiti Yang Adil

Oleh Dr S. Husin Ali

Tiap-tiap tahun, apabila sampai kepada masa memilih pelajar masuk ke universiti, ada saja kontroversi yang timbul. Tahun ini kontroversi berpusat kepada kes kononnya lebih 7 ribu tempat untuk bumiputera tidak dapat diisi, manakala pada masa yang sama kira-kira 500 pelajar bukan-bumiputera yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM mereka tidak mendapat tempat atau tempat pilihan pertama. Sebenarnya kontroversi yang berlaku tahun ini adalah akibat daripada kelemahan sistem pendidikan acuan pemerintahan Barisan Nasional yang masih tidak memuaskan.

Pada masa ini jumlah peratus pelajar yang berpeluang masuk ke peringkat ketiga, iaitu kolej dan universiti, masih terlalu kecil apabila dibandingkan dengan jumlah murid yang masuk ke peringkat pertama, iaitu sekolah rendah, dan peringkat kedua, iaitu sekolah menengah. Di Malaysia, peratus yang masuk ke universiti masih rendah jikalau dibandingkan dengan negara-negara lain, termasuk Thailand dan Filipina.

Sebenarnya, lebih banyak universiti awam perlu didirikan untuk menampung lebih ramai pelajar. Bagi pelajar bumiputera pula, penambahan bilangan calon masuk ke universiti tidak memadai dengan membuka sekolah-sekolah elit bagi mereka saja. Bahkan keadaan sekolah yang kekurangan guru yang berkelayakan dan kelengkapan yang baik di kawasan-kawasan miskin serta mundur hendaklah diperbaiki. Keadaan sekolah yang bertambah baik dan guru yang berkelayakan serta dengan gaji yang memuaskan, boleh menjamin bilangan yang lebih ramai boleh sampai ke peringkat pengajian tinggi. Pemakanan sihat dan iklim pembelajaran bagi pelajar-pelajar perlu dibaiki.

Empat hari selepas kontroversi tahun ini berlarutan, Menteri Pendidikan menafikan tentang kekosongan tempat yang tidak dapat diisi oleh pelajar bumiputera. Bahkan katanya semua tempat telah diisi, dan mengikutnya lagi calon bumiputera bukannya kekurangan akan tetapi berlebihan sebanyak kira-kira 11 ribu pula. Kenyataan menteri ini menimbulkan beberapa tanda tanya. Bagaimana dengan begitu cepat sekali keadaan serta angka berubah daripada tidak cukup kepada berlebih? Apakah asas bagi pihak berkuasa mengumumkan dengan begitu yakin bahawa masih ada tempat yang kosong, pada hal 30,000 pemohon berkelulusan STPM telah ditolak? Kelewatan Kementerian memberikan penjelasan menghilangkan kepercayaan orang ramai, kerana ia seolah-olah tidak tahu berapa jumlah sebenar kemasukan pelajar ke IPT. Semua perkara ini memerlukan penjelasan yang telus serta tepat.

Apabila kemasukan tambahan diumumkan oleh Kementerian, maka timbul tuduhan bahawa kuota 55:45 tidak dipatuhi. Sebaliknya sesetengah pihak menuntut pula supaya kuota bumiputera dinaikkan sampai 65 peratus, untuk mencerminkan komposisi penduduk sekarang. Mereka juga membangkitkan soal bilangan bumiputera yang kecil dalam IPTS. Ada pula yang mencadangkan supaya kuota untuk bumiputera diturunkan kepada 50 peratus atau lebih rendah.

Apabila kuota 55:45 yang wujud sekarang ini diperkenalkan kira-kira 23 tahun dulu tujuannya ialah untuk mencapai keseimbangan antara kaum. Memang ada asasnya untuk kuota ini ketika itu kerana wujud jurang sosio-ekonomi di antara kaum yang luas. Akan tetapi pada ketika itu pun terdapat kekurangan dalam perlaksanaan sistem kuota ini kerana ia memberi lebih keuntungan kepada pihak-pihak yang agak sudah istimewa kedudukan mereka.

Sekarang ini jurang di antara kaum kurang, dengan bertambah besarnya jumlah golongan atasan dan pertengahan Melayu. Pada masa yang sama jurang sosio-ekonomi di kalangan bumiputera, malah di kalangan tiap-tiap kaum, tambah melebar. Pendapatan purata 20 peratus isi rumah bumiputera yang tertinggi adalah tujuh kali ganda lebih banyak daripada pendapatan purata 40 peratus isi rumah bumiputera yang terendah. Pendapatan purata 40 peratus isi rumah bumiputera yang terendah adalah di sekitar RM600 sebulan.

Oleh kerana itu semakin penting sekarang ini diambil perhatian tentang peri mustahak kita mempunyai satu sistem yang mengutamakan keperluan golongan yang berkedudukan rendah dari segi sosio-ekonomi. Atas asas keperluan maka perhitungan istimewa harus diberi kepada golongan berpendapatan rendah, di kawasan bandar atau desa, dari Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung. Ini bukan saja lebih adil, tetapi lebih menguntungkan kepada bumiputera kerana mereka merupakan golongan terbesar mempunyai pendapatan rendah. Sekarang ini, latar belakang sosio-ekonomi pelajar-pelajar yang diterima masuk ke IPT ataupun yang ditolak kelihatan sebagai tidak diambil kira.

Kami berpendapat bahawa kecemerlangan yang dicapai oleh para pelajar harus diiktiraf, dan oleh kerana itu memang tidak adil untuk menafikan tempat di universiti kepada pelajar-pelajar cemerlang. Pada masa yang sama, kami juga berpendapat bahawa perlu juga dipertimbangkan dengan wajar kedudukan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan kecil atau kurang berkemampuan, akan tetapi memenuhi syarat kelayakan sungguhpun pencapaian mereka mungkin tidak begitu cemerlang. Sungguhpun boleh diakui ketika ini masih ada tempat lagi bagi sistem kuota, akan tetapi semakin penting lagi sekarang ini kita memikirkan soal keadilan.

Sekiranya sistem kuota diterima untuk diteruskan, maka ia hendaklah dilakukan secara adil. Maksudnya: (a) kita mesti memberikan tempat kepada semua calon yang mencapai keputusan cemerlang, (b) kita harus mengambil kira latar belakang sosio-ekonomi keluarga semua calon kurang cemerlang untuk memberi keutamaan kepada mereka yang kurang berkemampuan, dan (c) kita harus memperluas istilah kedudukan istimewa dengan tidak membatas hanya kepada bumiputera. Kita perlu menerima hakikat bahawa sistem kuota untuk bumiputera hendaklah berubah beransur-ansur mengikut keadaan sosio-ekonomi yang berubah dalam masyarakat.

Pada masa ini kami berpendapat bahawa kedua-dua ukuran, iaitu kecemerlangan (yang disifatkan sebagai merit) dan juga keperluan (yang dimaksudkan sebagai kemampuan sosio-ekonomi yang rendah), boleh digunakan sekaligus bagi menentukan kemasukan dalam IPT. Semua pelajar yang tinggi kecemerlangannya mesti diberi tempat, manakala mereka yang rendah kemampuan sosio-ekonominya harus mendapat pertimbangan sewajarnya. Kami berharap, pada suatu ketika nanti akan dapat diwujudkan akhirnya sistem menentukan tempat masuk ke universiti berdasarkan merit serta keperluan dan bukannya latar belakang kaum semata-mata.

Untuk menyelesaikan kontroversi pada masa ini dan memastikan ia tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan, kami ingin mengesyorkan dua perkara.

Pertama, satu Suruhanjaya Bebas yang berwibawa hendaklah ditubuhkan segera untuk menyiasat secara keseluruhan tentang segala aspek mengenai kemasukan pelajar ke semua IPT pada tahun ini dan sejak 20 tahun yang lalu, dan mengemukakan perakuan bagi membina sistem kemasukan yang lebih baik dan dapat diterima sebagai adil dan saksama bagi semua pelajar dari semua kaum atau agama yang berkelayakan.

Kedua, Suruhanjaya ini boleh juga mengkaji untuk melaksanakan satu sistem kemasukan tiga tingkat (three tier system) seperti yang kami syor di bawah ini.

Pada tingkat pertama, semua pelajar cemerlang (berdasarkan kelulusan STPM atau SPM) hendaklah diberikan tempat berasaskan kecemerlangan (merit) semata-mata. Kami percaya bahawa pada peringkat ini akan terdapat bukan saja ramai pelajar Cina, bahkan juga pelajar Melayu, India dan lain-lain.

Pada tingkat kedua, semua pelajar yang berkelulusan baik, tetapi tidak termasuk ke dalam kategori cemerlang di tingkat pertama, hendaklah dipilih berdasarkan pencapaian/ kelulusan mereka dan juga latar belakang sosio-ekonomi mereka. Di tingkat ini perlu ditimbangkan secara halus bagaimana sistem kuota perlu dilaksanakan dengan telus, sekiranya ia masih wujud lagi.

Pada tingkat ketiga, pelajar-pelajar yang tidak terpilih pada peringkat dua dan juga semua pelajar yang mempunyai kelayakan minimum, tetapi tidak termasuk pada tingkat satu dan dua, hendaklah dipertimbangkan berdasarkan terutama sekali faktor keperluan atau latar belakang sosio-ekonomi mereka. Golongan terpenting yang harus diberi keutamaan ini ialah pelajar-pelajar miskin dari kawasan-kawasan pendalaman, desa serta mundur, khususnya Orang Asal, orang kampung dan pekerja ladang di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.

Nisbah bagi jumlah daripada tiap-tiap tingkat ini boleh diperakukan selepas Suruhanjaya melakukan penyiasatan yang teliti. Ia tidak harus ditetapkan dengan cara yang kaku, bahkan boleh berubah mengikut keadaan. Kami selanjutnya syorkan supaya semua pelajar semua pelajar miskin diberikan bantuan, dan yang lain diberikan pinjaman bagi jika memerlukan atau menghendakinya.

Pendidikan merupakan suatu bidang yang sangat penting dalam proses pembinaan masyarakat. Sungguhpun secara bersendirian ia tidak boleh menjamin perpaduan nasional, namun pendidikan merupakan salah satu daripada faktor penting yang boleh membantu dalam hal ini. Pendidikan harus ditangani secara profesional. Hendaknya ia tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sistem kemasukan ke IPT dan pembahagian biasiswa serta bantuan mesti telus. Memang banyak kekurangan dalam sistem pendidikan sekarang. Oleh sebab itu ia memerlukan reformasi.

Sebagaimana yang telah diumumkan, dalam bulan Julai ini, Biro Pendidikan BA akan menganjurkan satu persidangan bagi membincangkan reformasi dalam sistem pendidikan.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
29hb Mei 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com