Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah berkata di Gua Musang baru-baru ini bahawa beliau sanggup “bekerja sampai beliau mati” jika masih diperlukan oleh rakyat.
Tindak-tanduk beliau baru-baru ini seakan-akan menunjukkan bahawa beliau sanggup dan rela menjadi seorang “diktator separuh bersih” supaya dapat kekal berkuasa.
Penahanan 10 orang pemimpin belia dan pro-reformasi Keadilan di bawah ISA adalah satu lagi langkah terancang untuk membendung cabaran pihak pembangkang yang boleh mengancam genggaman Presiden UMNO tersebut ke atas kuasa politik.
Arus perubahan di dalam senario politik sejak 1998 telah memaksa Dr. Mahathir untuk menggunakan ISA dan semua sistem negeri yang sedia ada termasuk menuduh musuh politik beliau melakukan liwat demi melindungi diri dan kerajaannya.
Dr. Mahathir juga akan menarik balik janjinya tentang tiadanya penapisan Internet memandangkan Pejabat Peguam Negara berada dalam peringkat akhir penggubalan perundangan untuk membendung kuasa komunikasi yang dihasilkan oleh penggunaan Internet sebagai senjata politik yang berkesan terhadap kerajaan.
ISA telah digubal pada 1960 untuk menangani masalah yang disebabkan oleh ancaman komunis tetapi dalam 41 tahun yang lalu, kerajaan pemerintah telah menggunakan perundangan ini untuk meneruskan kuasa mereka.
Beberapa ribu rakyat Malaysia yang merangkumi ahli kesatuan kerja, aktivis politik, pemimpin pembangkang, aktivis NGO, wartawan, ahli pendidikan, ahli akademik, kumpulan agama serta ahli politik yang tidak bersetuju dengan pemimpin kerajaan pemerintah telah ditahan kerana mereka dianggap sebagai ancaman terhadap kedudukan dan kuasa memerintah pemimpin kerajaan.
Pelbagai kempen telah diadakan untuk memenasuhkan ISA tetapi gagal kerana pihak yang berkuasa enggan melepaskan suatu perundangan sedemikian yang penting bagi mengawal penentangan dan cabaran terhadap struktur luasa kerajaan.
Malangnya, tidak banyak rakyat Malaysia yang tahu tentang aspek-aspek menindas ISA yang bercanggah dengan hak-hak asasi seseorang di samping menyalahi prinsip-prinsip keadilan.
Kerajaan telah mengemaskinikan ISA melalui pindaan-pindaan di Parlimen dan hari ini, peruntukan untuk kajian semula kehakiman telah dikeluarkan dan Menteri Hal-ehwal dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk menahan sesiapa menurut kehendaknya. Akronim bagi ISA kini diberikan makna baru “Ikut Suka Aku”, berdasarkan suka hati Menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan dalam negeri.
Bukan semua rakyat Malaysia akan menyokong kempen menentang ISA dan mereka masih memikir bahawa Akta tersebut perlu untuk menjamin keselamatan awam disebabkan oleh propaganda hebat yang digunakan oleh kerajaan unutk menjustifikasikan penahanan aktivis-aktivis pembangkang.
Hal ini tidak dibantu oleh pengamal-pengamal politik perkauman yang “mengajar” orang daripada pelbagai latar belakang perkauman untuk melihat masalah-masalah daripada perspektif etnik mereka.
Semasa Operasi Lalang 1987, penahanan ISA 16 pemimpin DAP dan beberapa ahli pendidikan Cina diberikan justifikasi oleh kerajaan atas alasan bahawa penahanan mereka adalah perlu untuk meredakan keadaan antagonistik tegang dan perkauman yang dicetuskan oleh kerajaan sendiri untuk menyelesaikan masalah dalaman UMNO.
Kempen memansuhkan ISA tersebut tidak mendapat sokongan orang Melayu kerana mereka telah diracun oleh propaganda kerajaan bahawa penahanan adalah perlu atas alasan perkauman.
Kerajaan telah menjustifikasikan penahanan 10 orang pemimpin belia dan pro-reformasi Keadilan atas alasan bahawa mereka yang ditahan telah cuba untuk membeli bom tangan dan pelancar roket untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran dan memulakan rusuhan untuk mengucar-kacirkan negara.
Terdapat segmen besar rakyat Malaysia yang telah menerima dan percaya dengan mudah propaganda kerajaan bahawa penahanan ISA adalah perlu untuk melindungi rakyat dan peniaga-peniaga daripada rusuhan perkauman dan kekacauan yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Kempen memansuhkan ISA dan undang-undang menindas lain tersebut tidak akan berhasil jika propaganda kerajaan lebih berjaya dalam menipu rakyat.
Kita pelu menamatkan jurang perkauman di kalangan rakyat dan Barisan Alternatif perlu menyatukan rakyat supaya menolak mana-mana propaganda kerajaan yang digunakan sebgai justifikasi semata-mata untuk mereka terus mengekalkan genggaman kuasa politik
............................................................................................
Ucapan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Ahli Parlimen untuk Tanjung, Chow Kon Yeow pada suatu ceramah roadshow yang diadakan oleh Pergerakan Anti-ISA (AIM) di Arau, Perlis pada hari Rabu, 23 Mei, 2001, pukul 10.30. p.m.