Omar Al-Madani
Adalah dirasakan tidak kena pada tempatnya jika
pemimpin PAS masih mengharapkan pemimpin UMNO akan
memberi mereka peluang untuk menyediakan parti untuk
sesuatu yang bakal dimanfaati oleh PAS sebagai sebuah
parti pembangkang. Malah, UMNO dan BN tidak nampak
ambil peduli untuk menyediakan ruang ke arah memberi
faedah manfaat kepada tanahair, bangsa, rakyat dan
agama.
Tentu ramai diantara kita terimbau hati untuk memberi
pandangan sehubungan dengan berita HARAKAH bertarikh
20 April bertajuk “Pemimpin Beri peluang PAS sedia
acuan perpaduan”.
Adalah dirasakan sedikit janggal bila membaca YAB TG.
Haji Hadi “masih mengharapkan” pemimpin UMNO dan BN
seperti yang dilaporkan beliau sebagai berkata:
Pemimpin Umno perlu memberi peluang kepada PAS untuk
menyediakan acuan perpaduan melalui pelaksanaan dasar
syariah Islam.
Bak kata orang tua-tua: “Merengek dan memintalah
kepada yang kasih – biarlah merajuk kepada yang
sayang”. Apakah pemimpin PAS menyangka pemimpin UMNO
akan berlembut hati memberi mereka peluang dan
pertolongan yang akan memberi kekuatan tambahan kepada
PAS/BA?
Sesungguhnya, PAS harus sedar bahawa kejayaan parti
ini sangat dicemburui oleh pemimpin UMNO. Mereka
semakin bimbang dengan sokongan rakyat kepada PAS/BA,
khususnya dari majoriti orang Melayu.
Hari ini, PAS/BA telah berjaya mengetuai kerajaan di
dua buah negeri dalam tempoh 10 tahun setelah merampas
Kelantan dari tangan BN. Kejayaan itu adalah kejayaan
parti yang memberi bukti bahawa rakyat semakin yakin
kepada PAS sebagai gabungan BA. Malah, PAS/BA telah
menembusi kubu UMNO dan BN di Kedah, Perlis, Selangor
dan Pahang. Itu adalah petanda baik yang sungguh
meransangkan.
Agenda PAS/BA sudah dimengerti dan dihayati rakyat di
Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka. “Kegilaan”
pentadbiran Dr. Mahathir dan UMNO-BN semakin
menjelaskan bahawa mereka sekarang semakin kehilangan
wadah dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Itu
jelas.
Harus diyakini bahawa bukan saja penyokong PAS telah
melihat bagaimana peristiwa di Kampung Medan (Jalan
Klang Lama) dan kawasan sekitarnya yang terlibat
dengan pergaduhan kaum sebagai teladan yang
membuktikan peri kegagalan Umno dan BN menyediakan
acuan perpaduan (rujuk kata-kata TG Hadi itu); malah
rakyat semua kaum dan semua pemimpin parti politik di
negara ini yakin bahawa UMNO dan komponen BN telah
gagal dan menggelabah.
Peristiwa itu adalah satu dari 1000 kekalutan yang
sedang berlaku dan berlarutan selama UMNO dab BN
diterajui oleh Dr. Mahathir Mohamad. Bukan saja UMNO
sebagai sebuah parti tidak mampu menyediakan ruang
untuk perpaduan dalam parti, malah mereka sesama
pemimpin pun tidak mampu menyuntik perpaduan sesama
ahli dan penyokong. UMNO sudah kehilangan sokongan
orang Melayu. UMNO semakin gawat.
Kita sudah nampak apa telah jadi kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim. Kita nampak beberapa orang jagoan
kepimpinan UMNO dibuang oleh pemimpin “teragung”
mereka. Pelbagai konspirasi diagendakan oleh beliau
hingga parti itu telah porak peranda. Mana ada
perpaduan dalam UMNO?
Kenyataan terbaru Dr. Mahathir yang bercadang
menafikan peranan “pemimpin kaya” menceburi kepimpinan
parti telah memecah-belahkan UMNO lebih teruk lagi.
Padahal siapakah yang kaya jika bukan kuncu-kuncu
beliau seperti Menteri Kewangan dan sejumlah besar
pemimpin UMNO lain termasuk Dr. Mahathir dan anak-anak
serta kroni politik beliau?
Kerana itu jugalah, kita sudah nampak bukti dengan
sahih bahawa orang Melayu telah meninggalkan UMNO
dengan jumlah yang boleh melumpuh parti itu. Dengan
itu, kewujudan UMNO dalam BN setakat menempel saja,
umpama ‘panau salap’ melekat dikulit saja. Bermakna,
UMNO tidak ada guna dan tida ada kemampuan bagi
menegakkan “kuasa politik” orang Melayu.
Pastinya Dr. Mahatir tidak peduli; kerana keutamaan
beliau setakat ingin menjadi Perdana Menteri ‘sampai
mati’. Perhetongan yang sama telah berlaku setelah
menilai keputusan pilihanraya Nov. 1999. Jumlah wakil
UMNO di Parlimen telah merudum sebanyak 22 kerusi.
Puncanya, Dr. Mahathir hanya mengutamakan kepentingan
beliau sahaja; bukan kepentingan UMNO sebagai parti
yang memepertahankan hak-hak orang Melayu.
Jika Islam menjadi agama perpaduan, apakah usul Dr.
Mahathir dan UMNO kepada Majlis Raja-Raja? Tidakkah
itu antara beberapa petanda yang membuktikan bahawa
konsep UMNO mengahayati perpaduan hanyalah
angan-angan belaka?
Dengan itu, tidak seharusnya PAS masih meminta-minta
sesuatu yang tidak akan diberi oleh Kerajaan BN.
Pertamanya, mereka yang menerajui UMNO dan BN tidak
akan memihak kepada PAS/BA yang berkemungkinan besar
akan memberi kesempatan kepada PAS memperbaiki imej
dan keterampilan parti dan perjuangan mereka.
Yang ke dua: Dasar Dr. Mahathir mentadbir negara ialah
melalui adu-domba berkonsepkan “pecahan dan perentah”.
Kebelakangan ini, rakyat (khususnya orang Melayu)
telah cuba “diperbodohkan” oleh Dr. Mahathir dengan
isu “Perdana Menteri bukan Melayu” dan isu-isu
“Tuntutan Suqiu”. Dan yang terkini, kenyataan Dr.
Mahathir mengenai kemunduran pelajar-pelajar Melayu.
Parti manakah yang menerajui Kementerian Pendidikan
selama ini? Bagaimana pulak alasan Dr. Mahathir dan
UMNO mengenai biasiswa anak-anak Melayu yang diubah
kepada “Pinjaman dengan faedah 4%” itu? Apakah orang
Melayu sudah bersedia dengan konsep “franchise” dan
mengkorporatkan IPT?
Dalam konteks yang lain Dr. Mahathir membesar-besarkan
perpektif Islam di sekolah-sekolah Kebangsaan. Tetapi
beliau tidak pernah memberi sebarang komen mengenai
pelajaran ugama Kristian disekolah majoriti bukan
Islam.
Sebaliknya, beliau berusaha segigih-gigihnya melihat
saudara Mahfuz Omar dan rakan-rakan seperjuangan
beliau dipenjarakan. Puncanya kerana merela membantah
persengkongkolan Kerajaan Dr. Mahathir dengan Yahudi.
Padahal, orang Islam dan rakyat negara ini memang
menentang keganasan Yahudi yang nyata. Adakah Dr.
Mahathir seorang pemimpin “perpaduan” jika beliau
sanggup memenjarakan orang Melayu dan orang Islam yang
menentang dasar “pro Yahudi” kerajaan Dr. Mahathir?
Selama ini Dr. Mahathir tidak peduli sebarang harapan
PAS walaupun ia adalah bertujuan baik. Kita nampak
bagaimana UMNO memberi pelbagai syarat kepada usul
mereka dalam perbincangan “Perpaduan Melayu”. Lihat
bagaimana buruknya propaganda mereka membusuk-busukkan
PAS dalam semua media kerajaan. Dalam waktu yang sama,
mereka bercakap mengenai “perpaduan Melayu”. Itu baru
mereka sendiri yang membuat cadangan; apa kata jika
harapan dan cadangan itu datangnya dari pembangkang
seperti PAS? Tidakkah UMNO pernah menolaknya pada awal
tahun 80-an?
Kita harus faham bahawa pemimpin UMNO sudah lebih 20
tahun cuba “membunuh” PAS dengan sedaya upaya mereka.
Masakan kita tidak nampak apa kesannya kepada
perpaduan Melayu sebagai bangsa yang menjadi tunjang
dalam kesejahteraan politik dalam negara ini.
Tentu PAS tidak akan lupa kesah dan isu royalti minyak
yang menjadi sumber pembangunan rakyat di Terengganu.
Jika sumber dana yang memberi kemampuan kepada
perpaduan kaum di sana, malangnya itu pun sanggup
pemimpin UMNO mensonglap dan menggunakannya untuk
memecahbelahkan perpaduan dikalangan orang Melayu –
hingga wujud Melayu UMNO dan Melayu PAS. Apakah PAS
mengharap bintang di langit dari UMNO?
Pemimpin PAS harus mengambil sikap lurus, terbuka dan
berterus-terang dalam perspektif meningkat dan
menyediakan pentadbiran yang menjurus kepada perpaduan
kaum. PAS wajar menilai kekuatan parti bahawa
penggabungan PAS dalam BA adalah satu aset yang
menjadikan PAS sebuah parti telah mendapat sokongan
majoriti orang Melayu dalam barisan pembangkang.
Keterampilan dan kewibawaan PAS bertitik-tolak dari
ketabahan parti dan pemimpin mereka dalam mengharungi
pelbagai ranjau politik yang sengaja ditimbulkan oleh
pemimpin UMNO dan BN.
Kini, Terengganu dan Kelantan sudah ditawan dari
tangan BN. Kuasa pentadbiran berada di tangan PAS/BA.
Tepuk dada tanya selera. PAS dan BA harus menggerakkan
segala daya dan usaha tanpa memikir dan berharap
bantuan dari pihak yang kita pasti tidak akan memberi
sebarang pertolongan. Kerana, mereka sendiri tidak
pernah terfikir untuk menbantu anda, sebaliknya
beragenda memusnahkan; masakan kita akan meminta-minta
lagi.
Jika PAS dan BA mempunyai agenda untuk meneruskan
hasrat membangunkan “perpaduan kaum” mengikut acuan
yang dimanifestokan, gunakan segala kemampuan yang
ada, walaupun dihalang oleh UMNO dan BN.
Adalah peluang keemasan kepada PAS untuk
memperjuangkan hak asasi pemimpin parti keADILan yang
sedang diISAkan itu dengan aktif dan jelas di mata
rakyat. Dalam isu penangkapan mereka, tersembunyi
pelbagai perkara yang akan memberi PAS peningkatan
keterampilan pelbagai sikap yang akan menjelaskan
pendirian. Inilah masanya PAS menunjukkan “perpaduan”
dan semangat “setiakawan” sesama gabungan BA.
Ketahuilah bahawa UMNO tidak mempunyai sebarang agenda
dan kemampuan perpaduan kaum, maupun orang Melayu.
Keutamaan agenda mereka selama 20 tahun ini hanyalah
bertujuan untuk membolot hak dan harta rakyat,
disamping berusaha keras menafikan hak asasi manusia.
Itu saja yang ada pada mereka. Sekian.
Perhatian:
Anggap pandangan ini secara positif dengan tujuan
membina.