Sejarah Melayu amat unik sebagai kitab warisan masyarakat untuk menilai budi bahasa manusia Melayu. Dalam kitab warisan ini dihikayatkan perjanjian Sang Sapurba dengan Lemang Lebar Daun agar menjadi pegangan manusia Melayu - bahawa tidak akan diaibkan anak Melayu walau sebesar mana kesalahannya sekali pun, maka sekiranya itu yang berlaku maka akan tibalah saat-saat kejatuhan pemimpin Melayu.
Pernah ketika dulu penulis mengatakan mungkin inilah pegangan manusia Melayu hinggakan sukar sekali kita melihat rakyat bangun menyanggah pemerintahnya. Tetapi hari ini kita perhatikan sumpah sudah dilanggar, janji sudah dinodai maka tunggulah hari pembalasannya. Lewat waktu ini kita perhatikan bahawa Allah membayar tunai kepada perbuatan jahat sesama manusia. Aziz sudah menerimanya, Megat Junid juga menerimanya, dan juak-juak yang kononnya dapat bergayut pada dahan UMNO walaupun telah dicap penyokong Anwar sudah tersungkur satu demi satu - kerana takut menegakkan kebenaran walaupun kebenaran itu sudah terang tanpa disuluh lagi. Penulis sedar bahawa bukanlah sopan untuk menuding jari seolah-olah penulis suka melihat musibah ke atas sesama manusia tetapi fikir-fikirkanlah - Getik dan Gayatnya penulis melihat manusia dayus yang tak berprinsip terus mengaku mendabik dada aku manusia Melayu tetapi hancai tak berharga walau pun satu sen, akan berkuburlah manusia Melayu kelak.
Kalau rakyat biasa yang rezkinya secupak itu nak dirampas, fahamlah penulis mengapa mereka terpaksa menjadi penyokong senyap. Inikan gergasi politik yang berjuih-juih mulut bercakap tentang maruah diri dan prinsip dalam perjuangan tetapi menikus bagaikan rezkinya punah ranah dipapakedanakan oleh perjuangan menegakkan keadilan. Kedana harta tak apalah tetapi bagi seorang pejuang kononnya, kedana prinsip tidak ada jual belinya, miskin semiskin-miskinnya budi manusia Melayu. Biarpun Zahid masih tersenyum sinis mengatakan dia taklah kaya mana, ingin juga penulis melihat senarai hartanya yang tidak dirampas oleh Maharaja Mahathir kerana sempat ke hulu-hilir menjaja prinsip hidup secara jualan murah. Nasib baik anak Melayu masih lagi bertunjangkan Islam sebagai rukun hidup mereka, kalau tidak entahlah. Namun penulis merasakan seorang lagi "Rais Yatim" akan lahir apabila Si Zahid ini habis "Pengajian Himpun Darjatnya" tidak lama lagi. Cukuplah Zahid mempromosikan dirinya dan anaknya di kampus. Hanya jauhari yang mengenal maknikam....kalaupun lulus dengan cemerlang, jajalah PHD itu ke merata kampung, tak lebih daripada ijazah biasiswa sahajalah- tak bagi terpaksalah bagi juga. Siapalah agaknya yang akan menjadi pemeriksa luar tesis si Zahid.Kalaulah Tun Seri Lanang yang memeriksanya alangkah baiknya melihat cendiakiawan pengecut Melayu menghasilkan sebuah karya Melayu Moden, entah-entahkan dalam bahasa penjajah supaya dunia luar pun sama ikut sama menjunjung kitab manusia Melayu baru....macam si Rais Yatim dulu!
Kembali kepada sumpahan Sang Sapurba kita lihat lakonan Mahathir-Daim seolah-olah mengulang kembali sejarah lakonan Anwar-Mahathir suatu ketika dulu. Cuma kini kita terpaksa menunggu hingga 2 bulan lagi sebelum sesuatu berlaku, itu pun kalau Allah mengkehendaki berlaku sedemikian, jika tidak - kita redhai sajalah apa yang ditakdirkan. Namun begitu sumpahan ini memang agak lambat menunjukkan kesannya. Apakah mungkin akan terlanggar sumpah buat kali kedua dan kali ini orangnya ialah Daim? Meneliti kenyataan-kenyataan yang diberikan dalam akhbar memberikan sedikit gambaran apa yang akan berlaku. Namun manusia Melayu Daim yang diam tidak seperti Anwar yang lurus bendul, pegangan hampir 75% saham dalam pasaran saham negara Melayu ini menjanjikan satu sekuriti yang terkira tinggi nilainya. Kalaupun berlaku perlanggaran sumpah Sang Sapurba kali kedua, mungkinkah akan melahirkan Sang Rajuna Tapa? Mohon-mohon dijauhkan Allah. Kita tidak mahu menghidupkan semula sejarah Singapura di Langgar Todak. Kita masih sayangkan bumi Melayu, maka biarkanlah Sang Rajuna Tapa di tempat pertapaannya. Jangan hidupkan watak yang tidak perlu dalam dunia Melayu. Tetapi hati penulis semakin gusar memikirkan sumpah yang mulai menunjukkan kesannya.
Anak Melayu masih banyak yang dibuai mimpi enak. Mak cik di kampung masih kuat lagi dengan kapal layarnya, sentimentalnya terhadap kerajaan Perikatan. Pantun dan pusi Melayu didongdangsayangkan dengan lemah gemalai. Masuk pula Puteri UMNO yang puteh merahnya menyilau mata mak cik dan pak cik yang makin kabuar penglihatannya. Keraian dalam sejarah Melayu dihidupkan semula dengan wajah Melayu Baru. Nada sinis Maharaja Mahathir menyindir Daim Yang Diam ke apabila menghalang orang kaya menyertai politik? Apakah agaknya ukuran yang digunakan oleh Maharaja Mahathir untuk menilai kayanya anak Melayu? Mungkinkah agihannya seperti watak -watak pencuri dalam cerita Pak Belalang P.Ramlee ? Budaya Melayu hanya menggunakan cupak dan gantang dalam ukuran makanan rujinya, namun apakah ukuran masyarakat Melayu Baru ciptaan UMNO kali ini.
Sumpah Sang Sapurba pasti menjadi kali ini. Takutnya rakyat akan merasakan tempiasnya sekali. Cukuplah cupak dan gantang yang ada dirampas tanpa segan silu. Apa lagi yang tinggal. Mungkin Maharaja Mahathir mengatakan bahawa dulu ISA tidak ada tetapi kali ini sumpah Sang Sapurba takkan menjadi kerana ISA senjata yang cukup hebat untuk membisukan anak Melayu hinggakan Chandra Muzaffar pun mulai lemah gemalai terkhayal dengan dondang sayang UMNO sedangkan anak buahnya dah hampir cukup sepuluh jari entah di mana, entahkan hidup, entahkan mati, kalau mati mana kuburnya, kalau hidup mana jasadnya. Sumpah Sang Sapurba telah dilanggar, anak Melayu makin ditindas, mulut jadi bisu, telinga jadi pekak, mata jadi buta. Janganlah dibiarkan korban Dang Anum berulang semula atau Mahsuri lahir semula kerana hutangnya perlu dibayar tujuh keturunan. Biarpun darah puteh mengalir tetapi darah itu tidak mungkin dapat membersihkan tangan-tangan hitam yang bergelumang dengan t--k.
Marilah anak Melayu melangsungkan kesinambungan sumpah Sang Sapurba. Berkampunglah kita di seluruh alam Melayu memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, moga-moga terpeliharalah mereka yang terpenjara, sengasaralah hidup mereka yang menyiksa. Anak Melayu tidak banyak mintanya, cukup makan, cukup pakai, sudahlah. Anak Melayu bangkit diinjak penjajah tetapi anak Melayu sanggah diaib oleh pemimpin Melayu sendiri. Buka-bukalah sejarah Melayu, cari-carilah Tun Perak dalam lipatan naluri anak Melayu, muncullah Hang Jebat pada tika anak Melayu memerlukannya, biarkan Hang Tuah dalam ketuliannya. Bangunlah anak Melayu..... Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Sudah tiba masanya Sumpah Sang Sapurba dicanangkan ke seluruh alam Melayu.....SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT