Penulis merasa terpanggil untuk menulis apabila terbaca tulisan Abu Firdaus (walaupun masih menunggu kesinambungan tulisan tersebut). Bagi sesiapa yang mengenali Anwar dengan rapat pasti mengatakan dengan tegas bahawa Anwar teraniaya. Penulis mengenali Anwar sejak alam persekolahan lagi. Peribadinya sebagai seorang guru, seorang suami, seorang abang dan seorang anak cukup menyakinkan penulis bahawa fenomena Anwar bukanlah pelik tetapi hikmahnya buat kita yang lalai dan leka bahawa Allah memberikan peringatan apabila Islam diinjak maka lahirlah kekufuran bermaharajalela.
Anwar anak yang sangat taat kepada bondanya. Sewaktu penulis sedang menyelesaikan pengajian sarjana, sampailah berita bahawa Mak Yan terlantar di hostipal Universiti. Petang itu penulis bergegas ke hospital dan setibanya di sana Mak Yan menunggu kehadiran anakandanya. Anwar tiba dan mencium tangan bondanya. Kak Wan tiba lewat sedikit. Mak Yan yakin walau sesibuk mana anakandanya, Anwar pasti datang menziarahinya. Pernah sewaktu bercuti Mak Yan ingin turut sama anakandanya walaupun berada di atas kerusi roda, Anwar tetap membawa bondanya bersama. Setelah sekian lama bekerja barulah Anwar dapat membelikan sebuah rumah buat bondanya untuk dikongsi bersama-sama adiknya yang menjaga Mak Yan. Kasih sayang Anwar terhadap Mak Yan ternyata kuat sekali sehinggakan Kak Wan sering beralah untuk menyenangkan hati bonda mertuanya. Mak Yan tidak segan silu mencium anakandanya di tengah orang sehinggakan Anwar pernah berkata; "Anak Mak dah besak dah...malulah depan orang" .
Sebagai abang dan adik, Anwar begitu menghormati keluarganya. Beliau pernah memberikan nasihat kepada seluruh keluarganya agar tidak menggunakan nama beliau dalam sebarang urusan perniagaan apatah lagi mengambil tender kerajaan. Malah ada juga anggota keluarganya merungut, jika tidak sekarang bila lagi nak menumpang senang tetapi ditepis oleh Anwar. Cukuplah setakat rezki yang dikurniakan Allah asalkan berkat dan diredhaiNya. Tetapi sekiranya terdapat penyelewengan hanya Allah sahaja yang mengetahui. Nasihat dan teguran beliau sama ada disenangi atau tidak tetap disampaikan.
Sebagai guru, Anwar terkenal dengan disiplin yang teguh. Pernah adik angkatnya sendiri ditangkap kerana merokok dipanggil ke bilik guru untuk disoal dan didenda. Malah ada anak muridnya hingga kini malu hendak merokok kalau di hadapan Anwar kerana begitu berkesan sekali teguran beliau. Biar pun anak muridnya itu kini manusia yang berjaya dalam kerjaya tetapi perasaan hormat tetap tertanam di sanubari.
Kehidupan dalam keluarga Anwar hanya teman-teman yang rapat sahaja yang mengetahui. Betapa sebagai seorang bapa, pernah satu ketika anak Anwar sakit di sekolah dan guru sekolah menelefon supaya mengambilnya. Anwar bergegas balik untuk mengambil puterinya dari sekolah walau pun dalam keadaan sibuk beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kehidupan yang dilalui oleh Anwar sama sahaja seperti kehidupan manusia lain. Jenguklah ke rumah Anwar. Pasti anda tidak menemui set sofa Itali atau perabot Eropah. Mana ada kolam mandi ala olimpik. Malah rumah Anwar tidak setanding dengan rumah tokoh koporat Melayu yang dikayakan oleh UMNO. Rumah beliau memang tersedia untuk kegunaan usrah dan pertemuan untuk hal-hal keagamaan dan duniawi.
Kalaulah perincian di atas telah melabelkan Anwar sebagai orang yang "baik dan beragama" dan menyebabkan orang tidak percaya kepada lelaki sedemikian, bagi saya agak subjektif sifatnya. Tetapi dalam dunia yang serba berkemungkinan, bagi yang tidak mengenali Anwar secara peribadi dan hanya mengenali label itu sahaja, maka kemungkinan itu tetap ada.
Bagi penulis, inilah perjuangan sebenar. Kita telah lama dilagukan dengan idea sekularisme hinggakan terlupa bahawa Islam adalah cara hidup yang sebenar. Jika Islam hanya ditempelkan sebagai acara ritual semata-mata maka jadilah apa yang berlaku hari ini. Jika PM hanya mengaburi rakyat bahawa dia lebih Islam daripada Anwar dengan memadamkan fakta sejarah, maka pejuang kebenaran harus bangkit mempersiapkan diri bangun berjuang. Kita hanya perlu pena dan ilmu yang diberikan Allah. Sebenarnya demonstrasi intelektual lebih tajam lagi daripada demonstrasi jalanan. Apa yang dilakukan Hishamuddin Rais, Lutfi, dan banyak lagi intelektual Melayu hanya menggunakan pena. Yang berani gempurlah secara terang-terangan, yang hatinya masih kecil lagi gempurlah secara senyap-senyap. Kita bukan inginkan revolusi berdarah. Tetapi kebangkitan rakyat yang mempunyai kesedaran berpolitik secara matang.
Apa yang dibangkitkan oleh Abu Firdaus merupakan pandangan yang tajam dan kritikal terhadap masyarakat Melayu kini. Sesekali begitu sinis menyindir manusia Melayu dan sesekali menyentuh perasaan nulari penulis seolah-olah Abu Firdaus mengiakan dakwaan terhadap Anwar. Inilah asam garam kehidupan manusia sebenarnya. Konspirasi wujud kerana manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya. Kekayaaan yang sedia ingin ditambah agar melimpah ruah.
Sekiranya Anwar akan menulis tentang pengalamannya, ingin sekali penulis memintanya membongkarkan segala kemungkaran yang dilakukan oleh PM dan anak-anaknya serta juga Karun Yang Diam. Hanya orang-orang yang hampir dengan Anwar sahaja yang mengetahui betapa tahun-tahun akhir sebelum kejatuhannya beliau terlalu banyak berfikir dan merungut sendirian bagaimana hendak menyelesaikan kronisme yang dilahirkan oleh PM. Tanyalah Azmin berapa kali pintu pejabatnya dirempuh oleh anak-anak PM dan kroni PM. Sedangkan seorang rakyat tua yang ingin memohon surat sokongan untuk permohonan biasiswa anaknya kalaupun dapat surat tersebut belum tentu diluluskan lagi oleh pihak berwajib kerana wang sudah habis disogokkan kepada anak-anak Pak Menteri atau Pegawai Kanan yang kononya lebih wajib diberikan biasiswa kerana kursusnya lebih profesional misalnya anak yang dapat biasiswa tetapi ambil kursus nak jadi pemain golf profesional!
Sebagaimana juga Abu Firdaus bangkitkan, terdapat juga seorang teman penulis mengiakan kemungkinan secara biologi Anwar seorang homoseksual. Tanyalah seorang perempuan bagimanakah dia menentukan suaminya itu seorang lelaki tulen kalau dia sendiri tidak mengetahui kegiatan luar suaminya? Lelaki boleh saja bila-bila masa menjadi heteroseksual. Anwar bukanlah Nabi tetapi manusia biasa sebagaimana manusia lain. Soalan tersebut telah membangkitkan kemarahan golongan hawa di pejabat penulis malah keperibadian lelaki tersebut tersebut dibandingkan pula dengan Anwar. Pendokong Anwar daripada golongan hawa bukannya sedikit. Melenting mereka tidak terkata.
Pengalaman penulis sendiri. Ketika heboh bahawa Anwar akan bersumpah menafikan tuduhan ke atas beliau, beliau telah menelefon beberapa orang tokoh agama dan berbincang dengan peguamnya. Suasana agak genting. Penulis duduk bersama guru yang paling dihormati dan buat seketika diam membisu. Dengan hati yang ikhlas penulis memohon jawapan daripada beliau sendiri secara empat mata. Keyakinan dan keikhlasan beliau tidak dapat diragui lagi bahawa beliau tidak pernah sekali-kali melakukan perbuatn tersebut.
Meneliti tulisan Abu Firdaus, penulis melihatnya secara akademik dan wajar diperbincangkan secara demikian tetapi timbul kerisauan di hati penulis tulisan itu akan menimbulkan implikasi negatif. Pun begitu penulis masih membuka hati untuk melihat dengan lebih lanjut lagi persoalan yang akan dibincangkan. Penulis mengenali watak-watak yang terlibat dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Anwar dan penulis juga mengenali Anwar dan keluarganya. Penulis berharap tulisan Abu Firdaus selanjutnya bukanlah atas dasar agak-agakan semata-mata tetapi telusurilah kebenaran. Moga-moga perjuangan kita melalui pena akan berterusan dalam menegakkan keadilan agar luah rasa yang ingin disampaikan dapat menggegar minda rakyat marhaen untuk turut sama memperjuangkan apa yang ingin diperjuangkan oleh saudara Anwar Ibrahim.
SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT.